Bidang kemahiran bukan lagi kelas kedua
KUCHING 28 April - Masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengubah persepsi mereka terhadap bidang kemahiran yang sebelum ini dianggap sebagai pekerjaan kelas kedua.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah berkata, ibu bapa kini perlu menggalakkan anak-anak mengikuti program latihan kemahiran memandangkan ia berpotensi menjana pendapatan lumayan.
Menurutnya, ini kerana Sarawak yang sedang membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) menyediakan 69,000 peluang kerja peringkat pengurusan dan profesional manakala sejumlah 337,000 tenaga kerja mahir dan 143,000 jurutera serta juruteknik.
"Anak-anak tempatan yang berkelayakan harus meningkatkan diri dengan bidang kemahiran sekali gus merebut peluang untuk bekerja di Score yang menyediakan 10 industri utama.
"Sepuluh industri utama yang akan dibangunkan itu ialah aluminium, keluli, kaca, minyak, kelapa sawit, perikanan dan akuakultur, penternakan, pelancongan dan marin," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-18 Politeknik Kuching di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Larry Sng dan Pengarah Politeknik Kuching, Abdul Rahman Khalid.
Fatimah berkata, Score menawarkan banyak peluang pekerjaan yang memerlukan mereka yang berkemahiran dan bukan lagi alasan kepada masyarakat untuk beranggapan program latihan kemahiran hanya berstatus kelas kedua.
Sehubungan itu, beliau berharap kekosongan pekerjaan di Score dapat diisi oleh anak-anak tempatan yang memiliki kemahiran.
Tambahnya, pembangunan Score merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan untuk membangunkan wilayah tengah Sarawak dan mengubah negeri ini kepada sebuah negeri maju menjelang tahun 2020.
"Kerajaan amat komited untuk membangun dan memajukan negeri ini namun hasrat ini tidak akan tercapai tanpa sumber manusia berilmu dan berkemahiran bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah Score," ujarnya.
Pada masa sama, Fatimah mahu Politeknik Kuching meningkatkan keupayaannya agar setanding dengan politeknik lain dalam usaha untuk mencapai status 'Politeknik Premier' dalam melahirkan tenaga kerja mahir.
No comments:
Post a Comment